Thursday 1 January 2009

Salam Maal Hijrah 1403 dan Selamat Tahun Baru 2009

As Salamu 'Alaykum dan Salam Sejahtera,

Sempena kehadiran tahun baru ini maka tergerak sanubari saya membina blog Wacana Perantau sebagai platform untuk saya menukilkan paradigma babak-babak kehidupan khususnya di perantauan ini.

Ia juga merupakan petanda simbolik buat saya yang ulung kalinya melangkah ke dunia blogger ini. Harapan saya semoga lontaran pandangan, coretan pengalaman dan cetusan fikiran dapat dimanfaatkan bersama dan meluaskan lagi jaringan interaksi saya dengan blogger-blogger lain walaupun ruang jarak dan waktu secara inter atau intra mewujudkan kekangan lantaran posisi geografi Malaysia dan UK atau dimana sahaja. Namun menyedari akan keunikan fenomena siber tanpa sempadan maka kita merentasi segalanya umpama episod penghijrahan yang tiada henti migrasinya.

Justeru menjadi impian saya semoga informasi yang terkandung dalam Wacana Perantau ini mempunyai nilai dan maknanya yang tersendiri sekaligus berupaya membantu proses penghijrahan ini melalui keterbukaan minda dan kesedaran jiwa akan tujuan dan fungsi diri kita dalam konteks syumul tatkala menelusuri ragam kehidupan sehari-harian.

Dalam perspektif yang sama, saya juga mengalu-alukan komentar dari semua samada ekspetasi mahupun skeptikal sebagai cabaran atau pendorong buat saya mendalami proses pengtahapan diri yang bertunjangkan pengetahuan, pemahaman dan pengalaman yang bersifat kohesif, dinamik dan positif juga selari dengan kepercayaan tuntas saya sebagai seorang Muslim.

Salam Maal Hijrah 1403 dan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua semoga dalam kita melangkah maju ke hadapan meninggalkan susur galur kehidupan dulu yang telah kita lalui beribu batu jauhnya maka pastikanlah bahawa kita sedang menuju ke arah perjalanan yang sebenar dan tepat yakni ' moving towards the right direction' agar menghindarkan diri dari kesesatan atau pembaziran masa yang akhirnya bisa menyukarkan kita memperbaiki semula kesilapan perhitungan.

KR

No comments: