Monday 16 March 2009

Cabaran Marginalisasi Di Kalangan Professional Melayu dan Bumiputera

Pakej ransangan ekonomi kedua berjumlah RM60 billion telah dibentangkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Mini Bajet di Dewan Rakyat. Justeru saya teruja akan visi dan misi teras pertama yang boleh saya konotasikan sebagai menjaga kebajikan dan hal ehwal golongan pekerja dan kelas menengah. Secara dasarnya, teras ini bercita-cita menyemarakkan peluang pekerjaan sekaligus melunturkan kadar pengangguran (unjuran 4.5% bagi tahun 2009) melalui suntikan kewangan sebanyak RM2 billion. Secara perlaksanaanya pula, bagi tempoh 2 tahun mendatang, sejumlah 163,000 peluang latihan dan pekerjaan dengan 100,000 inisiatif usaha sama antara kerajaan dan swasta akan diwujudkan. Tambahan dari itu, kerajaan juga mengambil sejumlah 63,000 kakitangan awam berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan di pelbagai agensi kerajaan.

Tidak sekadar itu, dalam nada yang sama, beliau telah melancarkan 'Graduate Employability Management Scheme' atau GEMS sebagai rentetan dari Mini Bajet tersebut. GEMS menuntut tanggungjawab sosial di kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk berganding bahu dengan kerajaan menangani cabaran ini secara total. Pendekatan beliau untuk menggagaskan kolaborasi kerajaan dan GLC dijangka menawar peluang latihan industri dan niaga buat 12,000 graduan keluaran tempatan dan luar negara.

Pengumuman sebegini telah lama dinantikan dan terbukti betapa kerajaan bekerja keras memastikan negara berupaya mengharungi situasi kemelesetan ekonomi dengan terancang dan bijaksana. Namun, kerajaan juga mungkin sedia maklum akan gejolak dan dilema yang telah dan bakal menjelma di kalangan professional Melayu dan Bumiputera hari ini dan mendatang. Seperti yang kita sedia maklum bahawa sudah sekian lama kita menyedari akan hambarnya minat sesetengah majikan untuk mengambil professional Melayu dan Bumiputera bekerja dengan mereka. Kebiasaan yang kita dengari akan justifikasi tidak mengambil professional Melayu dan Bumiputera bekerja adalah kerana kurangnya pengalaman, tidak fasih berbahasa inggeris atau lain-lain bahasa dan kelayakan tidak mencukupi.

Pada hemat saya, persepsi simplistik ini sama sekali tidak benar dan hanya mempertahankan status quo. Mereka menyedari bahawa semenjak merdeka dan sewaktu perlaksanaan DEB, kerajaan telah melaburkan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membina modal insan. Hakikatnya jelas dihadapan mata betapa ramai bangsa Melayu dan Bumiputera yang mencapai kejayaan status dan berupaya memberi khidmat terbaik samada dalam sektor awam mahupun swasta khususnya GLC. Selain itu, keterampilan mereka di luar negara juga membuktikan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Melalui MARA dan IPTA, semakin ramai yang memiliki kualifikasi tinggi sehingga ke tahap ijazah kedoktoran atau kelayakan ikhtisas dari dalam dan luar negara.

Justeru mengapakah gejolak dan dilema ini masih berkesinambungan sehingga hari ini?

Agakan saya mungkin kita merawati simtom-simtom yang menjadi petunjuk kepada gejolak dan dilema ini tetapi terlepas pandang penyebab sebenar yang telah lama berakar umbi disulami tanggapan stereotype dan paparan isu yang mengelirukan. Akhirnya ia sebati di sanubari umum dan semulajadinya kita berkonklusi bahawa sukar untuk dibuktikan atau dihapuskan. Apapun tentu ramai yang bersetuju bahawa gejolak dan dilema ini hanya terdaya diubati melalui keterbukaan minda, kesediaan jiwa dan kemurnian sikap.

Kadar pengambilan professional Melayu dan Bumiputera untuk bekerja terutamanya dengan majikan asing yang melabur di tanahair wajar diberi perhatian. Ini kerana mereka bukan hanya menawar kemahiran dan pengalaman yang dikehendaki malah boleh membantu memantapkan pengetahuan dan pemahaman majikan asing ini secara lansung terhadap budaya, adat resam, cara hidup dan iklim sebenar. Acapkali ciri-ciri tempatan inilah yang jelas tempang di sesetengah syarikat multi-nasional atau cawangan antarabangsa.

Walaupun begitu, berpandukan kepada pengalaman saya sendiri, wujud kekhuatiran di kalangan majikan asing mengambil mereka ini bekerja kerana beranggapan mereka tidak sanggup untuk bersekongkol dengan nilai dan budaya organisasi asing yang sedia maklum mungkin tidak selari dengan prinsip dan amalan bangsa, agama atau darjat mereka. Maka terjelmalah suatu sikap yang mencerminkan kedukacitaan dan ketidakpercayaan antara kedua-dua belah pihak yang akhirnya menjejaskan hubungan lalu menjemput tekanan demi tekanan sehingga tiada pilihan melainkan berhenti bekerja.

Umum harus menyedari bahawa integrasi bangsa, agama dan darjat dengan aspirasi organisasi sering menjadi konflik bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Di UK sendiri sebagai contoh, konflik antara keduanya sering mencipta kekecewaan dan rungutan hingga terpampang label 'institutional racism'. Kegagalan memahami atau menghargai kepelbagaian budaya, adat resam, cara hidup dan iklim di negara berbilang kaum menyebabkan sebahagian majikan longlai dalam 'comfort zone' dan tiada endah pada risiko. Walaupun begitu, tindakan menafikan hak mereka untuk bekerja sewenang-wenangnya hanya melebarkan lagi proses marginalisasi yang bakal meruwetkan lagi konflik yang tidak berkesudahan dalam dunia globalisasi ini.

Saya berasa ada keperluan untuk GLC dan syarikat Melayu dan Bumiputera yang bersifat 'high profile' untuk menaja program-program pembangunan professional Melayu dan Bumiputera untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman supaya mereka lebih berkarisma, berkredibiliti dan berwibawa. Pendedahan tentang realiti pengurusan dan operasi selain selok belok korporat dan pembangunan perniagaan dapat membantu mereka memahami dengan sedalamnya akan contoh-contoh terbaik untuk integrasi bangsa, agama dan darjat dengan aspirasi organisasi.

Thursday 12 March 2009

Nota Peribadi

Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana pada 11 Mac 2009 bersamaan 15 Rabiul Awal di dalam musim bunga di UK, isteri tercinta telah selamat melahirkan seorang puteri setelah tepat 9 bulan melalui denai-denai cabaran dan dugaan dengan kesabaran. Alhamdulillah kedua-dua ibu dan bayi berada dalam kandungan sihat walafiat.

Rentetan darinya maka saya terharu dengan ucapan murni dan tanda ingatan dari sahabat handai dan rakan taulan samada di UK atau Malaysia sebagai meraikan kehadirannya. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya dengan barakah dan rahmat yang berkekalan.

Sesungguhnya kurniaan puteri ini menyerikan kehidupan kami sekeluarga dan menjadi harapan semoga beliau menjadi anak yang solehah dan sebahagian dari penyuluh yang menyinari kehidupan ummahnya.

Jazakallah Khairan Kathiran