Sunday 4 January 2009

Konflik Palestin dan Israel - Luka Lama Berdarah Kembali

Sementara dunia hampir melabuh tirai 2008 menamatkan suka-duka dan pahit-manis kehidupan, masyarakat global secara tiba-tiba disentak dengan ledakan konflik antara Palestin dan Israel.

Bagaikan luka lama berdarah kembali maka umat Islam tanpa mengira dimana juga terpanggil untuk menggembeling daya usaha masing-masing. Justeru ia mencetuskan suatu gerakan massa pelbagai bentuk sifatnya tetapi mempunyai konotasi dan aspirasi yang sama. Ini dapat dilihat melalui rentetan tindakan dan aktiviti yang berasaskan kapasiti yang berbeza samada berbentuk demonstrasi, bantuan kewangan, ubatan dan makanan, dialog politik, perutusan artikel, sukarelawan keamanan dan sebagainya terhadap negara dan rakyat Palestin.

Hakikatnya gerakan massa sebegini bukanlah sesuatu yang baru khususnya dalam konteks pergolakan Timur Tengah. Namun kali ini tampaknya melahirkan respon yang cukup luar biasa sifatnya. Mungkin peranan siaran media bersama kecapaian ruang siber yang kian meluas telah menawarkan peluang kepada masyarakat global untuk mendalami malah mencampuri hal-ehwal konflik ini samada secara berdepan atau disebalik tabir. Dalam masa yang sama, segala persepsi dan perspektif yang diketengahkan oleh kedua-dua pihak bertelagah termasuk juga pihak ketiga samada berbentuk positif atau negatif telah mengundang reaksi masyarakat global berfikir secara dinamis, kritis atau prejudis menilai akan kebenaran informasi tersebut. Selain itu, konflik Palestin dan Israel sangat dekat di hati umat Islam terutamanya ketika Allahyarham Presiden Yasser Arafat menjelajah ke seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mendapatkan bantuan, sokongan dan inspirasi. Pelbagai peristiwa menyayat hati serta gambaran ketidakadilan kuasa Barat dan para Orientalis semenjak konflik ini bermula jelas bersemadi bukan sahaja di nurani umat Islam malah masyarakat bukan Islam sendiri sehingga ke hari ini.

Sebagai contoh di London pada Isnin lalu, beribu-ribu umat Islam dari pelbagai negara telah berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Israel memprotes serangan Israel terhadap Palestin. Saya yang turut bersama disitu telah melihat suasana kewujudan suatu solidariti bukan sahaja di kalangan umat Islam malah masyarakat British sendiri tanpa mengira bangsa, latar belakang dan negara mendesak agar pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Politik, NGO, Kesatuan Sekerja dan sebagainya di UK bertindak secara selari menamatkan perang yang tidak berprinsip dan bermaruah ini. Walaupun demonstrasi bermula jam 4 petang namun dua tiga jam sebelumnya telah ramai yang berkumpul dan menyorak 'Free Free Palestine', 'Israel Murderers', 'Israel Terrorist' dan lain-lain lagi. Pada satu ketika, terdapat sekumpulan individu yang berjaya membolosi sempadan polis lalu memasuki Kensington High Street sekaligus menganggu laluan trafik. Seperti yang dijangkakan, pihak polis dengan segala kelebihan yang ada telah meredakan tindakan-tindakan agresif ini serta menahan beberapa individu.

Menyusuri celah-celah kelompok manusia, saya berkesempatan menemubual beberapa rakyat British untuk mengetahui pandangan mereka sebenarnya tentang konflik ini. Pada mereka, selain hadir menyatakan kemarahan pada Israel dan simpati pada Palestin, mereka ingin turut serta bertanggungjawab kerana jauh disudut hati sebagai bangsa bertamaddun dalam negara maju, mereka sangat malu jika tidak mampu berbuat apa-apa menangani konflik ini. Hakikatnya mereka tidak sanggup memandang sebelah mata tatkala media atau siber memaparkan gambar-gambar ngeri dan sayu terutamanya kesengsaraan yang dialami oleh kanak-kanak, wanita-wanita dan orang-orang tua. Walaupun ada ketidakpuashatian terhadap Hamas lantaran kerap melancarkan siri serangan hendap terhadap Israel tetapi pada mereka tindakan Israel ternyata begitu melampau. Mereka juga melahirkan kehairanan apabila melihat sesetengah pemimpin utama di negara Islam tertentu bagai tidak berupaya melakukan apa-apa hatta mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa gembira kerana keperihatinan para pemimpin kita samada Kerajaan mahupun pembangkang terhadap konflik ini sangat mendalam. Saya membaca berita tentang YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah hadir ke Mesyuarat Khas OIC bagi membincangkan isu ini dan membawa usul tertentu. Saya juga difahamkan terdapat siri-siri demonstrasi telah dan akan dilakukan. Dalam masa yang sama, saya berharap Peace Malaysia dapat memainkan peranan secara lebih aktif terutamanya penglibatan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tentunya sangat instrumental dalam misi keamanannya antara Palestin dan Israel.

Apapun pada hemat saya, segala formula dan usaha yang telah dilakukan dahulu tampaknya masih tidak begitu berjaya untuk menamatkan konflik ini secara tuntas. Pada suatu ketika kita menyangka yang keruh jernih kembali tetapi ia tidak jadi sebegitu. Kedua-dua Palestin dan Israel senantiasa hidup dalam penuh kecurigaan dan tidak tenteram. Berapa banyak lagi nilai 'collateral' yang terpaksa ditanggung lantaran kematian manusia sebagai suatu risiko perjudian. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita kembali bermuhasabah dan memikirkan tindakan dan keputusan yang jauh berbeza dan bersifat baharu dari yang sebelumnya.

KR

No comments: