Thursday 29 January 2009

Islam dan Ekonomi

Meninjau rentetan sejarah terdahulu, Kerajaan Samudera Pasai pernah menjadi pusat kegemilangan Tamaddun Islam di rantau Asia Tenggara pada abad ke 13 hingga abad ke 16. Pembudayaan bertunjangkan Islam ternyata mengakar hingga mencakupi kegiatan perekonomian. Ini dapat kita lihat melalui ungkapan 'al-sultan al-'adl' di dalam matawangnya yang diperbuat dari emas dan dinamakan sebagai dirham. Dirham yang tertua telah dikeluarkan oleh Kerajaan Samudera Pasai semasa pemerintahan Sultan Muhammad Malik Al-Zahir (1297-1326). Matawang emas yang beratnya 0.60 gram dan berdiameter 10 mm mempunyai mutu 18 karat. Dibahagian depannya tertera nama Muhammad Malik Al-Zahir dan di bahagian belakangnya tertera ungkapan 'al-sultan al-'adl'. Menurut hemat William Shaw dan Mohamad Kassim Haji; Parameswara sebagai Raja Pertama Negeri Melaka telah mewujudkan hubungan dengan Kerajaan Samudera Pasai dengan memeluk agama Islam dan menikahi akan Puteri Pasai. Lantaran itu, ramailah pedagang-pedagang Pasai mengunjungi Melaka lalu memperkenalkan pula sistem penempaan matawang emas di Melaka. Hakikatnya ungkapan 'al-sultan al-'adl' seperti yang telah ditempa di muka matawang Pasai adalah berdasarkan kepada Firman ALlah SWT didalam bahagian awal surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud "ALlah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan...." Firman ini pula sewajarnya ditemukan dengan Kitab Tal al-Salatin ataupun Taju'ssalatin iaitu Kitab Mahkota Segala Raja yang termaktub di dalamnya pedoman mengendalikan pemerintahan negara berdasarkan ajaran Islam dan ia telah diterjemahkan dari bahasa Parsi oleh Bukhari al-Jauhari. Kitab ini menjadi pegangan para Sultan di Asia Tenggara pada ketika itu. Sebagai contoh Raja-Raja di Tanah Melayu juga turut bercita-citakan keadilan. Seperti Pasai, kita juga dapat melihat matawang-matawang emas seperti di Kelantan-Patani yang terdiri dari jenis-jenis kijang dan dinar matahari mempunyai ungkapan 'Malik al-adl'. Ungkapan 'Malik al-adl' juga tertera pada wang timah terengganu yang disebut pitis yang digunakan pada tahun 1838. Di Negeri kedah pula, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Syah II (1710-1760) turut mengeluarkan matawang emas yang dinamakan kupang yang ditempa ungkapan 'adil syah' yang bererti Raja Yang Adil. Ungkapan keadilan yang ditempa melalui matawang tersebut jelas ianya mempunyai makna tersendiri. Malah mungkin juga mengingatkan agar kegiatan perekonomian dijalankan dengan jujur dan adil. Dalam perkara ini Abdullah Munsyi melalui Kesah Pelayarannya ke Negeri Kelantan menegaskan bahawa "Ingat-ingat Tengku, lagi akan ditanyai ALlah Ta'ala pada hari kemudiannya akan segala hal ra'ayat itu kepada-nya. Dan lagi Tengku, bermula-mula yang masok neraka itu, segala raja-raja yang zalim ia di atas ra'ayatnya. Dan lagi yang bermula-mula masok shurga itu, segala raja-raja yang adil, Tengku. Maka janganlah Tengku kira orang yang menjadi raja itu terlebeh besar dan terlebeh mulut daripada ra'ayatnya; melainkan orang yang terkechil lagi hina, adanya; ia-itu hamba segala hamba Allah. Adapun apabila sa-orang di-jadikan Allah ia raja, bukan-nya sebab hendak memuaskan nafsu-nya dan berbini sa-puloh dua puloh, atau menchari harta dan membunoh orang dengan aniaya-nya, melainkan sebab di-suroh Allah memelihara-kan manusia, supaya tiada dianayai oleh sa-orang akan sa-orang; itulah gunanya" Demikianlah besarnya pengaruh Islam dan prinsip keadilannya hingga mencakupi dimensi perekonomian melalui terbitan matawang sesebuah negara tertentu. Malah di Amerika Syarikat sendiri pun mencetak kata- kata "In God We Trust". Ini membuktikan betapa ekonomi samasekali sukar dipisahkan dengan keagamaan. (nota: artikel ini hasil nukilan Professor Dr. Kamarul Rashdan Bin Salleh dalam siri Wacana pada tahun 1987)

No comments: