Thursday 8 January 2009

Kemelesetan Petanda Bermulanya Ekonomi Akar Umbi

Rata-rata seluruh masyarakat tanpa mengira pelusuk dan rantau sudah mula mengenali akan kehadiran kemelesetan samada bersifat teknikal mahupun setulusnya. Almaklum bermulanya kembara kemelesetan dari teratak Amerika Syarikat yang sesingkat waktu berupaya menziarahi hampir segenap dunia. Hakikatnya kehadiran tidak diundang amat digusari oleh setiap individu tanpa mengira siapa dan mengapa akibat bayangan fenomena kemelesetan yang bisa mencetus krisis ketidakyakinan dan kepanikan berganda-ganda hingga di suatu tahap bagaikan berupaya menyekat secara total limpahan rezeki kurniaan Tuhan untuk dinikmati hamba-hambanya.

Umum menyalahkan kehadiran kemelesetan disebabkan tertarik dengan dendangan saudagar perbankan dan bangsawan elitis yang cukup berbangga menyanyikan kehebatan dan lambakan harta benda yang terhasil dari kautan untung berlipat ganda melalui urusan-urusan yang jelas bercirikan ketidakadilan, berunsurkan riba dan berbayangkan ketamakan. Tidak sekadar itu malah sebahagian dari kantung keuntungan dicampakkan ke bakul perjudian masa depan dengan kepercayaan betapa pulangannya nanti bakal memuncak tinggi sehingga menggapai mercu kekayaan yang tidak pernah termimpi selama ini.

Hakikatnya inilah nilai-nilai kapitalisma yang sekian lama membelenggu kehidupan hampir setiap dari kita. Ditambah pula dengan cita-cita menongkat langit di kalangan saudagar perbankan bersama bangsawan elitis hingga sanggup menebas sempadan dan membina laluan globalisasi bagi membolehkan mereka menerobos ladang-ladang rezeki untuk dikaut semuanya menjadi milik segelintir sahaja. Tidak sekadar itu, tatkala suasana kestabilan serta rakyat cukup makan-minum dan pakai, mereka menaburkan gula-gula hutang atau menjanjikan pulangan menarik untuk lebih teruja. Manakala hadirnya kemelesetan sehingga hilang mata pencarian, bagaikan serigala rakus mereka mengejar dan menerjah lalu muflis jadinya mahupun tergadai harta benda justeru cebisan kertas-kertas yang tiada keramatnya.

Rentetan seperti ini bukanlah suatu tauladan baru. Ianya telah berulang kali ditayangkan dihadapan mata dunia dan umumnya telah sedia maklum segala petanda, masalah dan kesan yang terbit dari kemelesetan ini. Namun tampaknya masih belum berupaya untuk membebaskan kita dari belenggu ini walaupun sedar akan kepentingan dasar-dasar kewangan yang berimbang dan berhemah demi memastikan bukan sahaja kita tetapi setiap antara kita di seantero dunia ini selamat dari menghadapi natijah kemelesetan.

Pada hemat saya, kemelesetan sentiasa menjenguk dunia kerana ketiadaan dimensi ekonomi alternatif hingga menjadikan kita jumud dari membuat pilihan terbaik. Ini sangat penting kerana kita tidak boleh lagi mengutamakan sesuatu secara tuntas. Kehidupan seharian jelas mempunyai susur galur dan saling berantaian dengan kehidupan seharian lain. Manakala setiap wang yang diterima dan dibelanjakan silih berganti dari satu tangan ke tangan yang lain. Maka konsep kehidupan menyendiri berasaskan satu pilihan sahaja bukan lagi menjadi sesuatu yang ampuh.

Maka sebagai salah seorang dari peserta kecil dalam dunia yang juga kian mengencil ini, adalah wajar bagi kita memainkan peranan yang tersendiri menyirna unsur-unsur ketamakan, ketidakadilan dan kepentingan diri secara tegar dan tuntas. Menjadi tanggungjawab kita juga mengembalikan semula nilai dan makna ekonomi yang sebenar berlandaskan kenegaraan 'baldatun tayyiban warabbun ghafur' yang menggarap konsep perbankan Islam. Melalui iltizam menambah baik tatacara musharakah, mudharabah, baitamin ajil dan lain-lain lagi serta disulami daya usaha memperkasa institusi zakat dan wakaf selain matawang berasaskan dinar emas maka tidak keterlaluan menyebut bahawa kita berupaya membina suatu rupabentuk ekonomi yang baru.

Ternyata ekonomi baru ini berakar umbi sifatnya. Ia tidak mudah terpedaya dengan pujukan golongan opportunis yang tidak mengira pantang larang. Sebaliknya ia menghakupayakan setiap lapisan masyarakat sebagai 'stakeholder' yang sebenar melalui pilihan untuk menyertai suatu rupabentuk ekonomi yang berimbang dan berhemah dalam sebuah negara yang mengutamakan pembangunan dan kemajuan berwawasan.

3 comments:

Unknown said...

Selamat datang ke dunia bloggers. Semoga perkongsian ilmu ini berjaya menyebarkan kebaikan di kalangan kita umat manusia. Saya telah link kan blog saudara ke blog saya. Salam untuk keluarga.

Teddy said...

prof,

harap dapat bantu cadangkan bahan bacaan tepat berkenaan apakah yang dimaksudkan dengan sistem ekonomi islam? harap prof dapat emailkan saya rujukan berkenaan.

ahmad syah

Anonymous said...

Nice artikel. Blog ini patut diberi publisiti lebih kerana kandungannya yang akademik dan berilmu.
View Profile: Rantong