Wednesday 28 January 2009

Ke arah Pengurusan dan Penyelarasan Berkesan Bandaraya Moden dan Mapan

Seketika yang lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan merialisasikan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bandaraya Moden dimana halatujunya tertumpu ke arah pengurusan dan penyelarasan berkesan bandaraya moden dan mapan. Menurut Datuk Seri Zulhasnan Rafique selaku menteri yang berkenaan, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Tan Sri Samsuddin Osman bagi meneliti sistem pentadbiran, perancangan dan perlaksanaan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan perbandaran yang efisien khususnya di Kuala Lumpur dalam menjadikannya sebagai bandaraya kelas pertama menjelang tahun 2020.

Hebahan ini menarik perhatian lantaran bertaut rapat dengan pengalaman ikhtisas saya selama ini. Keterlibatan bersifat realiti sebagai konsultan dan penasihat bagi beberapa projek Kerajaan British dalam perspektif 'PPP/PFI' dan 'Socio Urban Facilities Management' bagi projek-projek seperti Building Schools for Future, NHS Local Improvement Finance Trust atau Manchester Salford Housing Market Renewal Pathfinder telah menghadirkan suatu konklusi dalam minda saya betapa kewujudan sesebuah bandaraya moden dan mapan sewajarnya mengambil berat akan inspirasi dua aspek utama iaitu penghakupayaan (empowerment) dan penglibatan masyarakat (social inclusion).

Hanya melalui kedua-dua aspek ini maka saya bertemu dengan rupabentuk pengurusan dan penyelarasan bandaraya yang bertunjangkan kepada pertimbangan kemanusiaan dengan hasrat agar kehidupan pemastautin bandaraya tidak sekadar bekerja atau belajar, makan, minum dan tidur semata-mata seumpama dalam penjara yang membosankan. Sebaliknya mereka berupaya mencorak fenomena kehidupan tersendiri melalui warna-warna fasiliti, alam persekitaran atau infrastruktur yang disediakan di hadapan mereka.

Hakikatnya inspirasi kedua-dua aspek hanya boleh diaspirasikan dengan perlaksanaan tiga elemen utama iaitu pentadbiran sempurna (good governance), kemapanan (sustainability) dan sosio-ekonomi (socio-economic). Perlaksanaan ketiga-tiga elemen ini pula tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan dan gabungan usahasama antara Kerajaan, Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mencapai kepentingan dan matlamat bersama.

Memandangkan fungsi jawatankuasa ini bersifat strategik maka kaedah-kaedah terbaik yang bakal dikemukakan kepada Kerajaan dalam menambah nilai polisi perbandaran yang sedia ada sayugia mengambil berat ketiga-tiga elemen di atas. Kaedah-kaedah ini pula hendaklah dibina berdasarkan kepada hasil pertemuan dengan setiap lapisan pemastautin bandaraya tanpa mengira samada pekerja, pelajar, warga emas, peniaga, golongan kelas menengah. fakir miskin dan sebagainya di meja perbincangan supaya agenda tindakan, pembiayaan, kajian impak menyeluruh, pengurusan program dan analisa garisan asas dapat dirangka dengan tepat, adil dan saksama.

Saya berkeyakinan andainya tasawwur kemasyarakatan menjadi pedoman dalam merangka agenda dan polisi perbandaran maka sudah tentunya kita berkemampuan untuk merapatkan jurang-jurang isu yang acapkali melebar dalam sesebuah bandaraya khususnya yang behubung kait dengan kemiskinan, jenayah, pengangguran dan penceraian. Apatahlagi situasi kemelesetan hari ini maka ada kemungkinan hadirnya petunjuk-petunjuk negatif pada indikasi ekonomi dan sosial hingga melebarkan lagi jurang-jurang isu ini.

Justeru kolaborasi antara jawatankuasa ini dan pemastautin bandaraya sangat tuntas sifatnya dalam ertikata memenuhi inspirasi penghakupayaan dan penglibatan masyarakat. Ia juga akan membolehkan Kerajaan merangka strategi dan operasi untuk memajukan perkembangan ekonomi dan sosial yang responsif dan positif serta bermanfaat jangka panjang. Malahan dengan mengiktiraf cadangan, kehendak dan impian pemastautin bandaraya maka agenda Kerajaan seperti kehidupan sihat cergas, peluang pekerjaan dan perniagaan yang meluas, persekitaran yang kondusif, pembelajaran seumur hidup dan sebagainya bergerak selari dengannya.

Dalam masa yang sama Kerajaan berupaya mengurangkan pembaziran pada elemen-elemen yang menganggu-gugat alam sekitar sekaligus meningkatkan penggunaan sumber-sumber semulajadi tanpa sesekali berkompromi dengan hasrat menjamin kesinambungan kehidupan yang berkualiti untuk generasi mendatang.

Walaupun begitu terdapat satu anasir yang boleh melonglaikan inspirasi dan aspirasi ini sekaligus mendangkalkan sokongan usahasama pelbagai pihak. Anasir yang dimaksudkan ialah bantuan kewangan dimana menjadi keruwetan sekiranya objektif komersil dan untung menjadi tunggak dalam menawarkan bantuan kewangan. Ini kerana lazimnya pembangunan perbandaran adalah bersifat jangka panjang dan berterusan tetapi wajib dilaksanakan pemodenannya dari satu masa ke satu masa yang lain. Kesan darinya menyebabkan ramai pembiaya menerima pulangan yang kurang memberansangkang. Manakala tradisi 'Cost Benefit Analysis' (CBA) pula kebiasaannya menjana angka-angka yang negatif hingga menggusarkan pembiaya untuk menawarkan bantuan kewangan.

Mahu tidak mahu tampaknya Kerajaan terpaksa memainkan peranan utama menyediakan peluang dan sokongan untuk memulakan langkah proses pemodenan. Menyedari bahawa Kerajaan mempunyai batasan dalam membelanjakan duit rakyat maka setiap keputusan hendaklah mempunyai asas perundangan, memenuhi kehendak rakyat dan bersifat efektif dan efisien. Salah satu cara yang mungkin meyakinkan kesempurnaan justifikasi dalam perbelanjaan duit rakyat untuk pemodenan perbandaran ialah melalui 'Social Cost Benefit Analysis' (SCBA). Penerapan SCBA berupaya mencernakan definisi lengkap terhadap kesan kebajikan sesuatu projek terhadap pemastautin bandaraya samada secara lansung atau tidak lansung.

Mungkin juga salah satu cara terbaik ialah dengan menekankan kembali konsep perkongsian bistari yang pernah diwar-warkan suatu ketika dahulu tetapi di dalam konteks usahama antara Kerajaan, Swasta dan Badan Bukan Kerajaan. Melalui konsep ini maka peluang-peluang dapat digagaskan untuk menstruktur semula rupabentuk perbandaran hari ini dengan memusatkan perhatian untuk menyelesaikan isu-isu utama seperti perumahan, pengangkutan, pembuangan atau jenayah. Mungkin ada baiknya jika jawatankuasa ini berperanan sebagai fasilitator dalam menterjemahkan konsep ini kepada realiti.

Dari satu sudut yang lain, jawatankuasa ini juga wajar mengambil kira tentang sejauh manakah keberkesanan agenda pemodenan bandaraya ini dapat menarik pelabur-pelabur terutamanya ke dalam sektor komersil dan industri. Penglibatan pelabur-pelabur ini amat penting sebagai pemangkin kepada penambahan populasi yang mungkin tertarik dengan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang ada. Penambahan populasi pula perlu diurus secara terancang dan bijaksana supaya kestabilan dapat diwujudkan dalam semua segi khususnya perumahan, pengangkutan dan sebagainya selain punca penambahan pendapatan bagi sesetengah pihak samada melalui cukai atau dagangan.

No comments: