Wednesday 1 January 2014

Selamat Tahun Baru 2014

Lebaran 2014 telah menjelma dan kita mulai melangkah setiap saat menelusuri destinasi kehidupan yang tak keruan penghujungnya. Memang minda dan azam mendambakan kesyumulan, keindahan dan kejayaan tersendiri namun segalanya bertunjang pada usaha dan iltizam selain pasrah pada ketentuan Illahi dan mengharapkan keredhaannya.

Pada hemat saya, tahun ini bakal menghadirkan cabaran tersendiri yang agak berbeda dari tahun-tahun sebelumnya. Sementara sekumpulan masyarakat begitu fokus terhadap impak bencana alam, kenaikan kos dan GST, namun saya tidak boleh mengabai suatu persoalan kenegaraan yang tuntas untuk dijawab iaitu apakah dan bagaimanakah setiap rakyat itu yang bercirikan seribu macam ramuan dan karisma dalam konteks idea, pegangan, persepsi, konotasi dan ekspresi dirinya bisa menyatu bersama meyakini pejuang-pejuang rakyat terdahulu bahawa kemerdekaan tetap ada kesinambungannya.

Keperihatinan saya ada sebabnya lantaran beberapa ketika sebelum 31 Disember 2013, kita acapkali ditiupkan dengan khabar angin menghikayatkan suatu perhimpunan guling kerajaan yang cukup samar siapa pejuangnya. Adakah acah-acah atau manifestasi sebenar sekumpulan rakyat yang tidak ampuh lagi tolak ansurnya lalu membujur lalu melintang patah. Justeru untuk kali keduanya pasca merdeka selepas keruwetan Mei 69 kita sekali lagi dihadapkan dengan ancaman sebegini.

Jelas pusingan ancaman itu masih berlaku, permainannya tetap sama cuma alatannya kian canggih selain tahun semakin tua. Seperti dulu, peserta-pesertanya tegar disasarkan pada golongan muda dan aktivis sosial. Walaupun akhirnya perhimpunan tidak sebegitu kental menggulingkan kerajaan pilihan rakyat namun hasutannya tidak berjaya dikesampingkan dan mungkin berjaya mengetuk pintu hati sebahagian diatas pagar.

Saya tidak mahu rentetan tragis Tanda Putera berlaku sekali lagi dalam negara kita yang aman sejahtera, makmur lagi mulia ini. Saya tidak mahu rakyat tidak berdosa menjadi mangsa tak bersebab atau collateral damage hanya kerana perbezaan akal dan jiwa yang saling mengacau dan mengocak ketenangan masyarakat. Jelasnya kita benar-benar impikan kelahiran ramai pencetus kedamaian di tengah-tengah gejolak rakyat lalu menganjak sinopsis masyarakat kearah satu dimensi kehidupan yang benar-benar dapat dan boleh bersatu walau dalam kepelbagaian. Impian ini mungkin retorik tetapi tidak mustahil andaikata segala kekacauan dan kekocakan yang meresah mendesak minda dan jiwa sekumpulan rakyat dapat direda dan dilonglaikan. Impian ini juga menuntut komitmen yang komited, terbuka dan ikhlas dari setiap rakyat untuk bersama menggarap aspirasi ini tanpa membiarkan ianya terbeban dibahu pemimpin semata-mata.

Ini bertunjangkan kepada inspirasi saya bahawa siapalah pemimpin tanpa rakyat. Andainya rakyat jelata cintakan kedamaian dan kemerdekaan yang dikecapi kini maka wajarlah kita menampilkan nilai-nilai kecintaan kita ini dengan sebenar-benarnya dan sejelas-jelasnya pada siapa jua pemimpin yang ada agar dimengertikan suara kita dan akhirnya mereka akur pada nilai dan makna perjuangan yang mengikut acuan dan ramuan kita sejujurnya - DKR

Sunday 1 January 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Alhamdulillah kita memasuki tahun baru dalam keadaan yang aman dan sejahtera. Negara kita masih berdaulat dan merdeka. Rakyat jelata riang dan sentosa. Ekonomi kita cergas dan kukuh. Agama kita mekar dan tegar sebagai pedoman kehidupan. Justeru sebagai insan 1Malaysia, mari sama-sama kita mensyukuri nikmat, rahmat dan barakah ini dengan membina satu azam di tahun baru ini dengan apa jua citarasa, ramuan dan dambaan yang akhirnya dapat menjamin nikmat, rahmat dan barakah ini berterusan bukan sekadar hingga akhir tahun ini bahkan selama-lamanya. Mari kita lakukan yang tebaik, transformasikan hidup kita kepada yang lebih syumul, InsyaAllah akhirnya kita tergolong sebagai orang yang berjaya.

Monday 16 March 2009

Cabaran Marginalisasi Di Kalangan Professional Melayu dan Bumiputera

Pakej ransangan ekonomi kedua berjumlah RM60 billion telah dibentangkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Mini Bajet di Dewan Rakyat. Justeru saya teruja akan visi dan misi teras pertama yang boleh saya konotasikan sebagai menjaga kebajikan dan hal ehwal golongan pekerja dan kelas menengah. Secara dasarnya, teras ini bercita-cita menyemarakkan peluang pekerjaan sekaligus melunturkan kadar pengangguran (unjuran 4.5% bagi tahun 2009) melalui suntikan kewangan sebanyak RM2 billion. Secara perlaksanaanya pula, bagi tempoh 2 tahun mendatang, sejumlah 163,000 peluang latihan dan pekerjaan dengan 100,000 inisiatif usaha sama antara kerajaan dan swasta akan diwujudkan. Tambahan dari itu, kerajaan juga mengambil sejumlah 63,000 kakitangan awam berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan di pelbagai agensi kerajaan.

Tidak sekadar itu, dalam nada yang sama, beliau telah melancarkan 'Graduate Employability Management Scheme' atau GEMS sebagai rentetan dari Mini Bajet tersebut. GEMS menuntut tanggungjawab sosial di kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk berganding bahu dengan kerajaan menangani cabaran ini secara total. Pendekatan beliau untuk menggagaskan kolaborasi kerajaan dan GLC dijangka menawar peluang latihan industri dan niaga buat 12,000 graduan keluaran tempatan dan luar negara.

Pengumuman sebegini telah lama dinantikan dan terbukti betapa kerajaan bekerja keras memastikan negara berupaya mengharungi situasi kemelesetan ekonomi dengan terancang dan bijaksana. Namun, kerajaan juga mungkin sedia maklum akan gejolak dan dilema yang telah dan bakal menjelma di kalangan professional Melayu dan Bumiputera hari ini dan mendatang. Seperti yang kita sedia maklum bahawa sudah sekian lama kita menyedari akan hambarnya minat sesetengah majikan untuk mengambil professional Melayu dan Bumiputera bekerja dengan mereka. Kebiasaan yang kita dengari akan justifikasi tidak mengambil professional Melayu dan Bumiputera bekerja adalah kerana kurangnya pengalaman, tidak fasih berbahasa inggeris atau lain-lain bahasa dan kelayakan tidak mencukupi.

Pada hemat saya, persepsi simplistik ini sama sekali tidak benar dan hanya mempertahankan status quo. Mereka menyedari bahawa semenjak merdeka dan sewaktu perlaksanaan DEB, kerajaan telah melaburkan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membina modal insan. Hakikatnya jelas dihadapan mata betapa ramai bangsa Melayu dan Bumiputera yang mencapai kejayaan status dan berupaya memberi khidmat terbaik samada dalam sektor awam mahupun swasta khususnya GLC. Selain itu, keterampilan mereka di luar negara juga membuktikan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Melalui MARA dan IPTA, semakin ramai yang memiliki kualifikasi tinggi sehingga ke tahap ijazah kedoktoran atau kelayakan ikhtisas dari dalam dan luar negara.

Justeru mengapakah gejolak dan dilema ini masih berkesinambungan sehingga hari ini?

Agakan saya mungkin kita merawati simtom-simtom yang menjadi petunjuk kepada gejolak dan dilema ini tetapi terlepas pandang penyebab sebenar yang telah lama berakar umbi disulami tanggapan stereotype dan paparan isu yang mengelirukan. Akhirnya ia sebati di sanubari umum dan semulajadinya kita berkonklusi bahawa sukar untuk dibuktikan atau dihapuskan. Apapun tentu ramai yang bersetuju bahawa gejolak dan dilema ini hanya terdaya diubati melalui keterbukaan minda, kesediaan jiwa dan kemurnian sikap.

Kadar pengambilan professional Melayu dan Bumiputera untuk bekerja terutamanya dengan majikan asing yang melabur di tanahair wajar diberi perhatian. Ini kerana mereka bukan hanya menawar kemahiran dan pengalaman yang dikehendaki malah boleh membantu memantapkan pengetahuan dan pemahaman majikan asing ini secara lansung terhadap budaya, adat resam, cara hidup dan iklim sebenar. Acapkali ciri-ciri tempatan inilah yang jelas tempang di sesetengah syarikat multi-nasional atau cawangan antarabangsa.

Walaupun begitu, berpandukan kepada pengalaman saya sendiri, wujud kekhuatiran di kalangan majikan asing mengambil mereka ini bekerja kerana beranggapan mereka tidak sanggup untuk bersekongkol dengan nilai dan budaya organisasi asing yang sedia maklum mungkin tidak selari dengan prinsip dan amalan bangsa, agama atau darjat mereka. Maka terjelmalah suatu sikap yang mencerminkan kedukacitaan dan ketidakpercayaan antara kedua-dua belah pihak yang akhirnya menjejaskan hubungan lalu menjemput tekanan demi tekanan sehingga tiada pilihan melainkan berhenti bekerja.

Umum harus menyedari bahawa integrasi bangsa, agama dan darjat dengan aspirasi organisasi sering menjadi konflik bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Di UK sendiri sebagai contoh, konflik antara keduanya sering mencipta kekecewaan dan rungutan hingga terpampang label 'institutional racism'. Kegagalan memahami atau menghargai kepelbagaian budaya, adat resam, cara hidup dan iklim di negara berbilang kaum menyebabkan sebahagian majikan longlai dalam 'comfort zone' dan tiada endah pada risiko. Walaupun begitu, tindakan menafikan hak mereka untuk bekerja sewenang-wenangnya hanya melebarkan lagi proses marginalisasi yang bakal meruwetkan lagi konflik yang tidak berkesudahan dalam dunia globalisasi ini.

Saya berasa ada keperluan untuk GLC dan syarikat Melayu dan Bumiputera yang bersifat 'high profile' untuk menaja program-program pembangunan professional Melayu dan Bumiputera untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman supaya mereka lebih berkarisma, berkredibiliti dan berwibawa. Pendedahan tentang realiti pengurusan dan operasi selain selok belok korporat dan pembangunan perniagaan dapat membantu mereka memahami dengan sedalamnya akan contoh-contoh terbaik untuk integrasi bangsa, agama dan darjat dengan aspirasi organisasi.

Thursday 12 March 2009

Nota Peribadi

Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana pada 11 Mac 2009 bersamaan 15 Rabiul Awal di dalam musim bunga di UK, isteri tercinta telah selamat melahirkan seorang puteri setelah tepat 9 bulan melalui denai-denai cabaran dan dugaan dengan kesabaran. Alhamdulillah kedua-dua ibu dan bayi berada dalam kandungan sihat walafiat.

Rentetan darinya maka saya terharu dengan ucapan murni dan tanda ingatan dari sahabat handai dan rakan taulan samada di UK atau Malaysia sebagai meraikan kehadirannya. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya dengan barakah dan rahmat yang berkekalan.

Sesungguhnya kurniaan puteri ini menyerikan kehidupan kami sekeluarga dan menjadi harapan semoga beliau menjadi anak yang solehah dan sebahagian dari penyuluh yang menyinari kehidupan ummahnya.

Jazakallah Khairan Kathiran

Thursday 26 February 2009

Suara Pekerja dan Kesannya Terhadap Kestabilan Ekonomi dan Masyarakat

Mutakhir ini sudah mula terjelmanya siri-siri demonstrasi aman tetapi bertenaga di UK yang dianjurkan secara aktifnya oleh Kesatuan-Kesatuan Sekerja. Platform demonstrasi ini ternyata mendapat sambutan hangat kerana ia menawarkan suatu ruang kepada pekerja-pekerja untuk berkerumun lalu menghidangkan segala apa yang tersimpan di dalam hati untuk dihadamkan oleh pimpinan kerajaan dan wakil-wakil rakyatnya ekoran kemelesetan ekonomi global kini.

Sememangnya dari hari ke hari, industri di UK kian menghadapi cabaran kegersangan lantaran terbendungnya limpahan pelaburan dan kewangan sehingga menyekat aliran sumber-sumber utama yang sangat dikehendaki untuk menyegarkan industri sekaligus menyemarakkan ekonomi. Ternyata ia telah menjebak sebahagian penggerak-penggerak ekonomi untuk meloloskan diri dari lumpur-lumpur liabiliti pada kadar segera samada dengan menjerut kapasiti operasi, melupus aset-aset dan membuang pekerja-pekerja.

Kehadiran tindakan yang sebegini rupanya (samada bermoral atau tidak) bukanlah sesuatu yang luar biasa. Menjadi lumrah ekonomi kapitalis sejak dulu kala lagi bahawa tatkala sesuatu kemelesetan ekonomi itu berlaku maka berduyun-duyunlah penggerak ekonomi menanggung bebanan hutang yang berlipat ganda. Tidak sekadar itu sahaja, malah ianya diberatkan pula dengan lebihan sumber-sumber yang ada yang diragukan prospeknya, tempang upayanya dan berkurang nilainya. Apatahlagi dengan menjunamnya nilai pasaran saham dan komoditi, harga produktiviti dan sebagainya maka semakin jelaslah catitan di buku-buku akaun mereka dengan rentetan angka-angka yang cukup merah sifatnya.

Apa yang pasti, tindakan rencam ini telah menyebabkan sebilangan besar pekerja berasa amat terpedaya dan tersiksa jiwa raga lantaran jasa bakti selama ini dalam memekarkan keuntungan dan memberansangkan petunjuk produktiviti bagaikan tidak dihargai dan dipedulikan oleh majikan. Walau dihulurkan bunga-bunga pampasan sebagai memujuk hati yang duka lara namun apalah ertinya jika segala impian dan agenda mencipta kerjaya masa depan yang membanggakan telah hancur berkecai.

Pada masa yang sama, umum melihat dimensi penggerak-penggerak ekonomi sebagai golongan oportunis yang hanya mengingati tanggungjawab kepada pelabur tetapi melupai tanggungjawab kepada masyarakat. Ini kerana usaha-usaha ke arah mengurangkan liabiliti adalah merupakan cetusan aspirasi untuk memastikan firasat keuntungan mereka tidak terjejas secara melampau.

Atas persepsi-persepsi sebeginilah maka pekerja-pekerja mula membina jaringan dan kemudian bersatu lalu tampil bersuara mendesak dan merayu supaya Kerajaan British melakukan pemeriksaan segera demi menyihatkan kembali industri-industri yang uzur ini melalui rawatan polisi bersama suntikan kewangan yang tegar.

Jeritan suara-suara mereka yang nyaring itu tampaknya sudah mula didengari oleh pimpinan negara. Terdapat beberapa inisiatif yang diumumkan baru-baru ini sebagai memastikan Kerajaan British tidak lalai atau lari daripada fokusnya untuk memenuhi keperluan visi dan misi jangka panjangnya. Mereka juga melihat keperluan suntikan kewangan khususnya dalam industri permotoran dan pembinaan sebagai asas untuk membina masa depan yang mapan. Ini kerana penglibatan semula Kerajaan British membantu industri tidak lagi dilihat sebagai ‘bail-out’ atau menawar laba percuma kepada penggerak industri, sebaliknya ia merupakan tunjang dalam mengembalikan semula kestabilan bukan sahaja kepada ekonomi malahan seluruh masyarakat.

Thursday 12 February 2009

Between Malaysian Politic and Business Power, Which is More Effective in Driving Sustainability?

The days when environmental concerns meant checking the weather forecast for rain before we organise our “Kenduri-Kendara” are long gone. An issue once dismissed as “tomorrow’s problem” is now the biggest issue facing the whole planet. The leaders of each countries around the world are falling over themselves to establish their green credentials with the people.

In the UK, the deafening chorus of approval that greeted Sir Nicholas Stern’s report on climate change has been followed by the climate change bill, which has the long term aim of reducing carbon dioxide emissions 60% by the year 2050. Its impact is likely to be felt by all those involved in the business, from blue chip clients to the small medium enterprises.

The British Government policy on sustainability has already been felt in socio-urban and regeneration agendas where many politicians and councils have demanded high-density mixed urban developments, in a bid to preserve social cohesion, green spaces and the planet at large.

But are political leaders and business lobbies jeopardising economic growth in their zeal to force the whole industry to embrace green issues?

Malaysia is a non-annex 1 country, not obligated to reduce our Greenhouse Gas (GHG) emissions. However as signatory of the UN Framework Convention on Climate Change, Malaysia has ratified the Kyoto Protocol in September 2002. This indicates the Malaysian Government strongly support Clean Development Mechanism (CDM) activities and has implemented an institutional framework. Furthermore, there is a great potential for GHG reduction projects in Malaysian in several sectors.

So how much sacrifice from the Malaysian business is really needed to avoid, for example, the apocalyptic conclusions of the Stern report? And does the business mostly dominated by short term concerns – investor value and share price – really have the ability or appetite to embrace technologies that take years to break even?

I think the Malaysian Government should tackle these issues head on, putting business leaders, politicians, opinion-makers and environmentalists face to face. They will need to take a critical look at all aspects of the green debate in the immediate future and long term. This is because the downturn economy will challenge the whole industry to cure its pollution ill and come up with more green solutions and at the same time to flourish their business in a slow market and catalyse innovation to create new opportunity.

The current sustainability agenda should be purely dominated by the increasing interdependence of public and private sectors. The government has to make it clear that the industry’s use of natural resources, the level of pollution and the amount of waste generated by the business and in use are purely unsustainable. Whereas the business is looking to examine energy and resource efficiencies to reduce their operational cost significantly

I would rather suggest for us to look at some of the critical issues as follow;

i. A possible lack of coordination between Federal and State Government, an overlay bureaucratic planning process and differences between city councils and local authorities that have blighted process on sustainability improvement.

ii. How the sustainable measures will be paid for as the government may offer a carrot through incentives, but the business is likely to face the stick of increased taxation.

iii. The business needs to re-examine their emissions trading and carbon offsetting in order to embrace change even by using their purchasing power to impose it on the supply chain.

I believe it is important to highlights how far up the politic and business power, the issue of sustainability always come at the forefront. The message has come that it is the responsibility of both public and private sector to show their commitment to work together across the board in resolving the pollution and carbon issues that people and market can’t deal with and create something that the people and market needs, whether that is renewal energy, carbon reduction, waste recycling or etc. and do that in an innovative and cheaper way.

Thursday 29 January 2009

Ketamakan Sektor Kewangan Membawa Padah Negara

Pada tahun 1996, ekonomi negara mencatat rekod pertumbuhan selama 9 tahun pada kadar lebih 8% setahun. Keluaran Dalaman Kasar (KDK) pula berkembang pada 8.2% selepas mencapai tahap memuncak pada 9.5% pada tahun 1995 dan 9.2% pada tahun 1994. Malahan, Belanjawan 1998 yang lalu tetap mempertahankan angka 8% bagi nilai keupayaan negara yang ditampilkan sepanjang tahun 1997. Jelasnya pertumbuhan ini menyumbang pengtahapan angka-angka rezeki masyarakat. Sebahagian besar berupaya menggayakan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan yang elitis. Ada juga yang beramah mesra dengan kegiatan berisiko yang kerap dijalinkan dengan pasaran saham dan hartanah. Menurut teori mikroekonomi yang simplistik, jika kadar permintaan adalah tinggi berbanding kadar penawaran maka memuncaklah kadar harga dan memekar kadar inflasi. Namun, kita bernasib baik kerana kadar inflasi masih rendah iaitu sekitar 3% pada tahun 1997. Walau begitu, kekhuatiran tentang kemelesetan ekonomi tetap wujud. Ini berdasarkan kepada pertambahan bilangan pekerja asing sehingga kadar pengangguran menjunam kepada 3% (maknanya hampir tiada pengangguran) serta impaknya terhadap pertambahan defisit dalam akaun semasa negara. Pernah suatu ketika, sebilangan masyarakat mencurigai potensi Indeks Harga Pasaran (IHP) sebagai pengukur kadar inflasi. IHP gagal mempamerkan benchmarking yang sebenar. Ini memaksa Anwar Ibrahim melalui Kebangkitan Asia mengakui bahawa meskipun tampak kejayaan negara dalam beberapa aspek ekonomi namun masih banyak yang perlu dilakukan. Kita meninjau betapa Asia Timur masih bergantung kepada teknologi Barat. Kita memahami akan kelesuan dari sudut penyelidikan dan pembangunan. Kita merasai ketidakmantapan iltizam untuk membangunkan sumber daya manusia. Malah kita terpangu melihat betapa ketempangan ini dicacatkan lagi oleh masalah kemiskinan dan ketidakadilan sosial. Apa yang pasti kegiatan spekulatif ternyata menyubur ketika kerancakan ekonomi negara (sebagaimana juga menurut kesan Minsky) dimana pelabur menyuntik pelaburan mereka ke dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Kegiatan pelaburan ini jelas popular selepas tahun 1993. Masih segar dalam kenangan, pada 22 Disember 1993, betapa kegiatan pasaran harian menjangkau hampir RM4.8 bilion sehari. Justeru itu, sebilangan pelabur mula menggemari aktiviti membeli dan menjual saham secara singkat bagi tujuan mencipta lonjakan margin keuntungan yang memberansangkan berbanding dengan faedah pelaburan jangka panjang. Ia turut disokong oleh pinjaman yang diberikan oleh bank komersil bagi membeli stok dan saham. Suasana bertenaga ini menghadirkan impaknya tersendiri hingga mampu menghidangkan komisyen hampir RM 100,000.00 sebulan untuk dinikmati oleh broker saham. Lantaran kerunsingan melihatkan gejala ini, Anwar Ibrahim menasihati pelabur supaya tidak melabur berdasarkan kepada rumor semata-mata tetapi perlu melihat kepada fundamental. Dalam nada yang sama Tun Daim Zainuddin melahirkan keperihatinannya terhadap individu-individu yang sanggup untuk berhenti kerja bagi melibatkan diri secara aktif di dalam kegiatan pelaburan. Hakikatnya, suasana tidak sihat seperti ini menjejaskan fundamental ekonomi negara. Walaupun begitu, kita sekali lagi bernasib baik kerana suasana itu tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Indeks komposit BSKL memperlahankan kerancakannya secara berdikit-dikit dalam tahun 1994 hingga 1997. Kegiatan spekulatif tidak terhenti disitu. Kegiatan hartanah juga turut bergiat. Peningkatan harga berlaku bukan kerana pembelian pelaburan jangka panjang sebaliknya untuk tujuan spekulatif. Di Kuala Lumpur, kita melihat betapa harga perumahan meningkat hampir 50% dalam tempoh setahun yang lalu. Kebanyakan pemaju mempamer kegemaran membina perumahan kos sederhana dan mewah. Mungkin kerana ada pemangkin permintaan. Malah, kegemaran ini turut digarap oleh bank komersil hingga sanggup memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga 60 tahun serta membiayai hampir 90% daripada nilai rumah yang masih lagi di dalam pembinaan. Akibatnya, pada tahun 1996 dan 1997, kita gelisah dengan kenaikan harga rumah yang cukup luar biasa. Walaupun begitu, atas dasar membasmi kemiskinan dan keperihatinan terhadap agenda perdana politik, Kerajaan mula menyeru supaya para pemaju tidak sesekali mengabaikan perumahan kos rendah dan tidak sesekali menaikkan harga yang ditetapkan iaitu RM25,000.00. Namun, masih tidak ramai pemaju yang bersedia untuk menyahutnya lantaran kadar untung yang lebih rendah berbanding dengan perumahan jenis lain. Apapun juga, peningkatan nilai aset tetap ternyata meningkatkan nilai pendapatan terutamanya di sektor korporat. Kesan dari pengtahapan margin keuntungan dan keyakinan, sektor korporat terus memainkan peranan untuk mencipta kecemerlangan. Manakala kecergasan bank-bank menawarkan kemudahan kredit menyumbang kepada kecairan ekonomi sehingga tidak terkawal dengan efficient melainkan suatu gambling. Pengamatan sebegini sekadar merupakan suatu muhasabah sebelum kita melaksanakan proses penghijrahan yang tuntas. Seperkara yang pasti iaitu beberapa dekad sebelum menjelmanya krisis ekonomi, kewujudan tindakan-tindakan affirmative dan proactive yang bertujuan membina persekitaran ekonomi mantap yang berkesinambungan telah disusuli oleh rangkaian peristiwa bernasib baik. Manakala suatu perkara yang lain pula, keghairahan sektor perbankan dan pasaran aset serta modal untuk menunjangi kegiatan ekonomi negara dan mencipta kecemerlangan margin keuntungan serta tidak mengindahkan peringatan dan usaha murni ternyata memberikan impak besar pada hari ini. (nota: artikel ini hasil nukilan Professor Dr. Kamarul Rashdan Bin Salleh dalam siri Wacana pada tahun 1987)