Thursday 29 January 2009

Ketamakan Sektor Kewangan Membawa Padah Negara

Pada tahun 1996, ekonomi negara mencatat rekod pertumbuhan selama 9 tahun pada kadar lebih 8% setahun. Keluaran Dalaman Kasar (KDK) pula berkembang pada 8.2% selepas mencapai tahap memuncak pada 9.5% pada tahun 1995 dan 9.2% pada tahun 1994. Malahan, Belanjawan 1998 yang lalu tetap mempertahankan angka 8% bagi nilai keupayaan negara yang ditampilkan sepanjang tahun 1997. Jelasnya pertumbuhan ini menyumbang pengtahapan angka-angka rezeki masyarakat. Sebahagian besar berupaya menggayakan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan yang elitis. Ada juga yang beramah mesra dengan kegiatan berisiko yang kerap dijalinkan dengan pasaran saham dan hartanah. Menurut teori mikroekonomi yang simplistik, jika kadar permintaan adalah tinggi berbanding kadar penawaran maka memuncaklah kadar harga dan memekar kadar inflasi. Namun, kita bernasib baik kerana kadar inflasi masih rendah iaitu sekitar 3% pada tahun 1997. Walau begitu, kekhuatiran tentang kemelesetan ekonomi tetap wujud. Ini berdasarkan kepada pertambahan bilangan pekerja asing sehingga kadar pengangguran menjunam kepada 3% (maknanya hampir tiada pengangguran) serta impaknya terhadap pertambahan defisit dalam akaun semasa negara. Pernah suatu ketika, sebilangan masyarakat mencurigai potensi Indeks Harga Pasaran (IHP) sebagai pengukur kadar inflasi. IHP gagal mempamerkan benchmarking yang sebenar. Ini memaksa Anwar Ibrahim melalui Kebangkitan Asia mengakui bahawa meskipun tampak kejayaan negara dalam beberapa aspek ekonomi namun masih banyak yang perlu dilakukan. Kita meninjau betapa Asia Timur masih bergantung kepada teknologi Barat. Kita memahami akan kelesuan dari sudut penyelidikan dan pembangunan. Kita merasai ketidakmantapan iltizam untuk membangunkan sumber daya manusia. Malah kita terpangu melihat betapa ketempangan ini dicacatkan lagi oleh masalah kemiskinan dan ketidakadilan sosial. Apa yang pasti kegiatan spekulatif ternyata menyubur ketika kerancakan ekonomi negara (sebagaimana juga menurut kesan Minsky) dimana pelabur menyuntik pelaburan mereka ke dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Kegiatan pelaburan ini jelas popular selepas tahun 1993. Masih segar dalam kenangan, pada 22 Disember 1993, betapa kegiatan pasaran harian menjangkau hampir RM4.8 bilion sehari. Justeru itu, sebilangan pelabur mula menggemari aktiviti membeli dan menjual saham secara singkat bagi tujuan mencipta lonjakan margin keuntungan yang memberansangkan berbanding dengan faedah pelaburan jangka panjang. Ia turut disokong oleh pinjaman yang diberikan oleh bank komersil bagi membeli stok dan saham. Suasana bertenaga ini menghadirkan impaknya tersendiri hingga mampu menghidangkan komisyen hampir RM 100,000.00 sebulan untuk dinikmati oleh broker saham. Lantaran kerunsingan melihatkan gejala ini, Anwar Ibrahim menasihati pelabur supaya tidak melabur berdasarkan kepada rumor semata-mata tetapi perlu melihat kepada fundamental. Dalam nada yang sama Tun Daim Zainuddin melahirkan keperihatinannya terhadap individu-individu yang sanggup untuk berhenti kerja bagi melibatkan diri secara aktif di dalam kegiatan pelaburan. Hakikatnya, suasana tidak sihat seperti ini menjejaskan fundamental ekonomi negara. Walaupun begitu, kita sekali lagi bernasib baik kerana suasana itu tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Indeks komposit BSKL memperlahankan kerancakannya secara berdikit-dikit dalam tahun 1994 hingga 1997. Kegiatan spekulatif tidak terhenti disitu. Kegiatan hartanah juga turut bergiat. Peningkatan harga berlaku bukan kerana pembelian pelaburan jangka panjang sebaliknya untuk tujuan spekulatif. Di Kuala Lumpur, kita melihat betapa harga perumahan meningkat hampir 50% dalam tempoh setahun yang lalu. Kebanyakan pemaju mempamer kegemaran membina perumahan kos sederhana dan mewah. Mungkin kerana ada pemangkin permintaan. Malah, kegemaran ini turut digarap oleh bank komersil hingga sanggup memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga 60 tahun serta membiayai hampir 90% daripada nilai rumah yang masih lagi di dalam pembinaan. Akibatnya, pada tahun 1996 dan 1997, kita gelisah dengan kenaikan harga rumah yang cukup luar biasa. Walaupun begitu, atas dasar membasmi kemiskinan dan keperihatinan terhadap agenda perdana politik, Kerajaan mula menyeru supaya para pemaju tidak sesekali mengabaikan perumahan kos rendah dan tidak sesekali menaikkan harga yang ditetapkan iaitu RM25,000.00. Namun, masih tidak ramai pemaju yang bersedia untuk menyahutnya lantaran kadar untung yang lebih rendah berbanding dengan perumahan jenis lain. Apapun juga, peningkatan nilai aset tetap ternyata meningkatkan nilai pendapatan terutamanya di sektor korporat. Kesan dari pengtahapan margin keuntungan dan keyakinan, sektor korporat terus memainkan peranan untuk mencipta kecemerlangan. Manakala kecergasan bank-bank menawarkan kemudahan kredit menyumbang kepada kecairan ekonomi sehingga tidak terkawal dengan efficient melainkan suatu gambling. Pengamatan sebegini sekadar merupakan suatu muhasabah sebelum kita melaksanakan proses penghijrahan yang tuntas. Seperkara yang pasti iaitu beberapa dekad sebelum menjelmanya krisis ekonomi, kewujudan tindakan-tindakan affirmative dan proactive yang bertujuan membina persekitaran ekonomi mantap yang berkesinambungan telah disusuli oleh rangkaian peristiwa bernasib baik. Manakala suatu perkara yang lain pula, keghairahan sektor perbankan dan pasaran aset serta modal untuk menunjangi kegiatan ekonomi negara dan mencipta kecemerlangan margin keuntungan serta tidak mengindahkan peringatan dan usaha murni ternyata memberikan impak besar pada hari ini. (nota: artikel ini hasil nukilan Professor Dr. Kamarul Rashdan Bin Salleh dalam siri Wacana pada tahun 1987)

No comments: