Wednesday, 1 January 2014

Selamat Tahun Baru 2014

Lebaran 2014 telah menjelma dan kita mulai melangkah setiap saat menelusuri destinasi kehidupan yang tak keruan penghujungnya. Memang minda dan azam mendambakan kesyumulan, keindahan dan kejayaan tersendiri namun segalanya bertunjang pada usaha dan iltizam selain pasrah pada ketentuan Illahi dan mengharapkan keredhaannya.

Pada hemat saya, tahun ini bakal menghadirkan cabaran tersendiri yang agak berbeda dari tahun-tahun sebelumnya. Sementara sekumpulan masyarakat begitu fokus terhadap impak bencana alam, kenaikan kos dan GST, namun saya tidak boleh mengabai suatu persoalan kenegaraan yang tuntas untuk dijawab iaitu apakah dan bagaimanakah setiap rakyat itu yang bercirikan seribu macam ramuan dan karisma dalam konteks idea, pegangan, persepsi, konotasi dan ekspresi dirinya bisa menyatu bersama meyakini pejuang-pejuang rakyat terdahulu bahawa kemerdekaan tetap ada kesinambungannya.

Keperihatinan saya ada sebabnya lantaran beberapa ketika sebelum 31 Disember 2013, kita acapkali ditiupkan dengan khabar angin menghikayatkan suatu perhimpunan guling kerajaan yang cukup samar siapa pejuangnya. Adakah acah-acah atau manifestasi sebenar sekumpulan rakyat yang tidak ampuh lagi tolak ansurnya lalu membujur lalu melintang patah. Justeru untuk kali keduanya pasca merdeka selepas keruwetan Mei 69 kita sekali lagi dihadapkan dengan ancaman sebegini.

Jelas pusingan ancaman itu masih berlaku, permainannya tetap sama cuma alatannya kian canggih selain tahun semakin tua. Seperti dulu, peserta-pesertanya tegar disasarkan pada golongan muda dan aktivis sosial. Walaupun akhirnya perhimpunan tidak sebegitu kental menggulingkan kerajaan pilihan rakyat namun hasutannya tidak berjaya dikesampingkan dan mungkin berjaya mengetuk pintu hati sebahagian diatas pagar.

Saya tidak mahu rentetan tragis Tanda Putera berlaku sekali lagi dalam negara kita yang aman sejahtera, makmur lagi mulia ini. Saya tidak mahu rakyat tidak berdosa menjadi mangsa tak bersebab atau collateral damage hanya kerana perbezaan akal dan jiwa yang saling mengacau dan mengocak ketenangan masyarakat. Jelasnya kita benar-benar impikan kelahiran ramai pencetus kedamaian di tengah-tengah gejolak rakyat lalu menganjak sinopsis masyarakat kearah satu dimensi kehidupan yang benar-benar dapat dan boleh bersatu walau dalam kepelbagaian. Impian ini mungkin retorik tetapi tidak mustahil andaikata segala kekacauan dan kekocakan yang meresah mendesak minda dan jiwa sekumpulan rakyat dapat direda dan dilonglaikan. Impian ini juga menuntut komitmen yang komited, terbuka dan ikhlas dari setiap rakyat untuk bersama menggarap aspirasi ini tanpa membiarkan ianya terbeban dibahu pemimpin semata-mata.

Ini bertunjangkan kepada inspirasi saya bahawa siapalah pemimpin tanpa rakyat. Andainya rakyat jelata cintakan kedamaian dan kemerdekaan yang dikecapi kini maka wajarlah kita menampilkan nilai-nilai kecintaan kita ini dengan sebenar-benarnya dan sejelas-jelasnya pada siapa jua pemimpin yang ada agar dimengertikan suara kita dan akhirnya mereka akur pada nilai dan makna perjuangan yang mengikut acuan dan ramuan kita sejujurnya - DKR